Dua hala tuju pacu kemajuan MUSA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 20 Dis. – Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menggariskan dua hala tuju untuk memacu kemajuan badan induk bola sepak negeri itu.

Presiden MUSA Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, antara yang digariskan ialah pengukuhan kewangan persatuan.

Jelasnya, aspek kewangan menjadi agenda yang dititikberatkan bagi memastikan MUSA dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan ke arah memperkasa bola sepak Melaka menjadi lebih baik dan berdaya saing.

PRESIDEN MUSA, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

“Hala tuju kedua pula ialah mengamalkan dasar keterbukaan dengan ahli kelab-kelab gabungan bagi bersama-sama membantu memantapkan lagi peranan MUSA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman kepimpinan baharu badan induk itu bagi penggal 2020-2023 selepas Kongres MUSA ke-65 yang diadakan di Hotel Hatten, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, MUSA akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pasukan Melaka United FC (MUFC) yang kini bergerak berasingan selepas diswastakan sebagai syarikat persendirian di bawah Akta Syarikat 2016 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 10 Ogos 2020 yang lalu.

Ujarnya, penswastaan itu telah menyaksikan pemisahan beberapa aspek pentadbiran bola sepak di antara MUSA dan MUFC Sdn. Bhd. seperti pengurusan pasukan-pasukan Melaka United di pelbagai peringkat yang kini diletakkan di bawah MUFC secara berperingkat bermula dengan skuad senior Melaka United yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Manakala MUSA pula jelasnya, kini memberi fokus untuk memainkan peranan bagi memperkasa beberapa aspek lain antaranya pembangunan bola sepak akar umbi, pendidikan kejurulatihan dan pembangunan pengadil bola sepak Melaka.

Views:

476
Kongsi :
Previous post Bajet kurang, tapi pemain mantap! 
Next post MUFC kekalkan 70 peratus muka lama
Ubah saiz-+=