Sorting by

×

LOJI AIR JUS MULA DIBINA MEI 2025

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ASAHAN 23 April – Masalah tekanan air rendah yang membelenggu masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal berakhir apabila Loji Air Jus bakal dibina bermula bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkongsi berita gembira itu dengan memaklumkan peruntukan berjumlah RM11 juta telah diluluskan bagi pembinaan loji tersebut.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pembinaan loji itu akan mengambil masa kira-kira 12 bulan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

“Saya menzahirkan rasa syukur kerana sejak menjadi wakil rakyat pada 2021, isu ini telah saya bawa ke peringkat Kerajaan Negeri dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana membantu menyelesaikan perkara ini.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang banyak membantu serta memahami permasalahan masyarakat di DUN Asahan,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook rasmi beliau.

Menurut Fairul Nizam, walaupun Asahan dikenali sebagai kawasan tadahan air, namun kawasan itu sebelum ini sering mengalami masalah tekanan air dan dengan pembinaan loji baharu itu, masalah berkenaan akan selesai.

“Saya yakin, pembinaan ini akan memberi manfaat besar demi kesejahteraan penduduk di DUN Asahan. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang membantu merealisasikan perkara ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS MAUT, RAKAN PATAH PAHA MOTOSIKAL BERTEMBUNG KERETA
Next post ANUGERAH MELAKA MEMBACA DILANCARKAN