
ARTIFAK BERSEJARAH DI BELANDA DIBAWA PULANG KE MELAKA JULAI INI
KUALA LUMPUR 30 April – Kesungguhan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, meluruskan sejarah dibengkokkan penjajah mula menunjukkan hasil positif apabila Kerajaan Negeri ketika ini sedang berada pada fasa untuk membawa pulang artifak berkaitan Melaka yang tersimpan di Belanda.
Perkara itu dikongsi Ketua Menteri susulan surat maklum balas diterima daripada Kerajaan Belanda memaklumkan negara itu bersetuju untuk menyerahkan semula artifak berkenaan kepada Melaka.
Katanya, jika semuanya berjalan lancar artifak berkenaan yang menjadi bukti keagungan Melaka akan dibawa pulang ke bumi bersejarah ini Julai nanti.
“Kerajaan Belanda telah mengutuskan surat untuk memulangkan semula artifak-artifak ini kepada Kerajaan Negeri Melaka. Artifak berkenaan adalah bukti sejarah Melaka terus utuh dan dapat kita luruskan kebengkokan sejarah.
“Insya-Allah, Julai ini selepas pertemuan bilateral bersama negara itu kita akan membawa pulang artifak berkenaan, difahamkan Kerajaan Belanda sudah mendigitalkan semua artifak berkenaan yang dalam bentuk manuskrip.
“Malah kita juga telah menjumpai manuskrip sejarah Hang Tuah dalam 20 bahasa, juga akan dibawa pulang ke bumi bertuah ini untuk tatapan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Karisma Pemikir MADANI Siri II Universiti Teknologi MARA (UiTM), diadakan di sebuah hotel di ibu negara, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri turut berkongsi dan melontarkan pendapat pada sesi Bicara Tokoh melibatkan kira-kira 200 pensyarah UiTM seluruh negara.
Bicara itu bertujuan untuk menyampaikan fakta sejarah Melaka dan penemuan hasil kajian yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebelum ini.
Sementara itu Ab Rauf berkata, artifak yang akan dibawa pulang itu mengangkat hasrat Kerajaan Negeri untuk meluruskan sejarah terutama berhubung kewujudan Hang Tuah.
“Menerusi Institut Kajian Tuah (IKAT), kita telah menjelajah ke beberapa buah negara untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah, sekali gus menempelak dakwaan kononnya ia adalah satu mitos,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.