
BOMBA SELAMATKAN SUAMI ISTERI SESAT DI ‘JALAN PELIK’
ALOR GAJAH 2 Mei – Perjalanan menuju ke lokasi untuk perkhidmatan berinai menggunakan aplikasi Google Maps bertukar menjadi mimpi negeri buat pasangan suami isteri apabila mereka tersesat ke lokasi terpencil di penghujung jalan Kampung Ulu Pegoh, pada Rabu.
Lebih malang, tayar kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki mereka terbenam ke dalam selut sedalam kira-kira 15 sentimeter (cm) di lokasi berkenaan.
Meskipun begitu, dalam keadaan panik mereka sempat menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka sebelum diselamatkan.
Ketua Zon 2 JBPM Negeri Melaka Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.14 malam dan seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Nur Fawzal Samsunahar telah digerakkan ke lokasi.
Katanya, anggota bomba yang menaiki kenderaan pacuan empat roda tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian dan bergegas memulakan operasi mencari dan menyelamat di daratan sebelum menemui kereta dinaiki pasangan berumur 29 dan 30 tahun itu dalam keadaan terbenam.
“Pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan panik dan ketakutan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anggota bomba kemudiannya menggunakan kaedah ‘winching’ untuk menarik kereta tersebut ke permukaan yang lebih rata sebelum mengiringi pasangan itu keluar ke jalan utama.
“Operasi mengambil masa kira-kira setengah jam dan berakhir pada jam 9.05 malam,” katanya.
Beliau berkata, operasi berkenaan menjadi antara kecekapan yang dipamerkan anggota bomba tanpa mengira apa jua kes, termasuklah kes yang dikaitkan dengan unsur mistik dan seumpamanya.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 16 saat mengenai insiden itu tular di aplikasi TikTok selepas dimuat naik mangsa yang berkongsi pengalaman mengenai kejadian yang menimpa mereka ketika melalui jalan yang didakwa ‘pelik’ itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.