Sorting by

×

TIADA KELULUSAN MENDIRIKAN BANGUNAN, PENGENDALI TAPAK GLAMPING DIKENAKAN KOMPAUN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Sebanyak empat notis dan dua kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terhadap pengendali tapak glamping di Bukit Katil, selepas dikesan mendirikan bangunan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, notis dan kompaun itu dikeluarkan ketika Operasi Penguatkuasaan Bangunan/Home Stay/Town Stay/Rumah Inap yang dijalankan pegawai Jabatan Kawalan Bangunan bersama Jabatan Perancang dan Jabatan Perlesenan serta jabatan berkaitan yang lain pada 8 Mei lalu.

Sapiah berkata, ketika pemeriksaan hanya satu premis didapati menjalankan aktiviti glamping secara aktif, sementara itu sebuah lagi didapati kosong.

“Hasil semakan yang dilakukan mendapati kedua-dua tapak ini tidak mempunyai kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT), pelan bangunan serta lesen perniagaan.

“Susulan itu, empat notis dan dua kompaun yang setiap satu bernilai RM1,000 dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, pihaknya turut meminta pihak terbabit untuk tampil mengemukakan pelan-pelan berkaitan seperti yang disyaratkan oleh pihak majlis bagi tindakan susulan.

“Mendirikan bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Operasi ini akan diteruskan dalam usaha mengesan premis-premis yang dibina atau beroperasi tanpa mengikut kelulusan ditetapkan termasuk mempunyai lesen sah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

972
Kongsi :
Previous post PELBAGAI AKTIVITI MENARIK DI SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2025
Next post PARAKOM TANGANI LEBIH 110 KES KECEMASAN SEPANJANG 2024