Sorting by

×

PELAJAR SEKOLAH AGAMA SEMAKIN MENINGKAT DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KOTA LAKSAMANA 15 Mei – Pendidikan agama di Negeri Melaka semakin mendapat tempat apabila permintaan dan sambutannya semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa saban tahun.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata, perkara itu dibuktikan apabila kemasukan pelajar ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semakin meningkat.

Jelas beliau, setakat April 2025, kemasukan pelajar ke SRA JAIM adalah seramai 50,024 orang berbanding seramai 48,976 pelajar pada tahun lalu.

“Kerajaan Negeri amat menyambut baik dan sangat mengalu-alukan kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan JAIM dalam memastikan semua anak-anak beragama Islam di bumi Melaka yang bertuah ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya.

“Ia juga amat penting dalam mendepani cabaran dunia global hari ini yang semakin mencabar dari hari ke hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman pada Majlis Kecemerlangan Akademik Sekolah-Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Rosli, majlis kelolaan Bahagian Pendidikan JAIM itu memberi pengiktirafan kepada 167 orang pelajar dari 45 buah sekolah yang telah memperolehi tahap pencapaian yang cemerlang khususnya dalam bidang akademik sepanjang tahun 2024.

“Pada hemat saya, majlis anugerah seumpama ini amat wajar dilaksanakan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara.

“Penggabungan penyampaian anugerah bagi tiga jenis peperiksaan utama di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam satu majlis juga adalah merupakan usaha yang baik dalam memberikan motivasi dan perangsang kepada pelajar-pelajar lain di luar sana supaya terus berusaha tanpa putus asa demi menggapai impian yang diinginkan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1481
Kongsi :
Previous post JURUTEKNIK MAUT SELEPAS VAN DIPANDU BERLANGGAR DENGAN TRELER
Next post KPDN MELAKA GEMPUR 157 KES, NILAI RAMPASAN LEBIH RM143,000