Sorting by

×

BENIH PADI MELAKA MURAH, HASIL BERKUALITI, TUAIAN MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MERLIMAU 15 Mei – Harga perolehan lebih murah, lebih berkualiti dan hasil meningkat antara maklum balas diberikan pesawah tempatan selepas menggunakan benih padi varieti MR297 yang juga antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan keterjaminan makanan Melaka.

Kumpulan pesawah di Sawah Kampung Tengah Padang, di sini, menyifatkan Projek Pengeluaran Benih Padi Melaka (MR297) sebagai anjakan baharu dalam industri padi di Negeri Melaka.

Meskipun hanya mengusahakan 63 lot dengan keluasan sekitar 43 hektar, projek hasil inisiatif Kerajaan Negeri itu juga mampu menoktahkan pelbagai isu membelenggu pesawah sebelum ini termasuk campur tangan kartel dan harga benih yang mahal di pasaran biasa.

Mereka yang ditemui kini tersenyum lebar dan berpuas hati dengan hasil tuaian musim pertama menggunakan benih varieti MR297 yang tidak banyak ragam atau penyakit.

Rahmad Bahanan, 61, berkata, ketika Kerajaan Negeri menerusi Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menyuarakan hasrat untuk mengeluarkan sendiri benih padi ia memberi gambaran bahawa nasib pesawah yang selama ini ‘berjuang’ mencari rezeki mula mendapat perhatian.

“Tidak dinafikan sebelum ini pesawah di Melaka perlu membeli benih padi pada harga yang tinggi hampir RM70 untuk 10 kilogram tetapi menerusi inisiatif diperkenalkan ini harga boleh dikatakan rendah serta berpatutan.

“Pada harga RM58 kini pesawah sekitar Melaka sudah boleh membeli benih padi varieti MR297 menerusi bawah Skim Pengesahan Benih Padi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Lebih mesra dengan panggilan Wak Mad, Rahmad sudah lebih 30 tahun mengusahakan tanaman padi berkata, inisiatif dibawa Kerajaan Negeri menunjukkan hasil positif apabila tuaian musim pertama berjaya menghasilkan kira-kira 80 tan padi.

“Pada awalnya, mahu dapatkan benih ini bukan mudah, kami perlu melalui banyak proses, tetapi berpuas hati dan berbaloi kerana hasil dan kualitinya amat bagus.

“Selepas melalui semua proses termasuk saringan boleh dikatakan 98 peratus benih padi dihasilkan kualitinya adalah baik.

“Jadi inisiatif Kerajaan Negeri ini bukan sahaja membantu meringankan beban pesawah malah Melaka sekarang mengeluarkan benih yang baik daripada segi kualiti,” katanya.

Jelasnya, mewakili kumpulan pesawah di Kampung Tengah Padang, Wak Mad amat berterima kasih dan menghargai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1686
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKSANA PEMBANGUNAN HARTANAH BERIMPAK TINGGI DI KLEBANG
Next post PEKERJA KILANG CEMAS, STOR PENYIMPANAN BAHAN KIMIA TERBAKAR