Sorting by

×

INISIATIF PARAKOM TARIK PERHATIAN DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Idea Paramedik Komuniti (PARAKOM) Negeri Melaka menjadi bualan aktivis sukarelawan asing ketika kaedah pelaksanaan inisiatif itu dibentangkan pada sebuah forum berlangsung di Kota London, baru-baru ini.

Pegawai Operasi dan Penyelaras PARAKOM Melaka, Saiful Nizam Sairi berkata, beliau menerima maklum balas positif selepas membentangkan inisiatif PARAKOM pada forum berkenaan.

Katanya, ramai dalam kalangan aktivis teruja dan menyatakan minat untuk mempelajari sistem dan kaedah pelaksanaan PARAKOM hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang dilaksanakan di Melaka.

“Selesai sesi pembentangan, saya menerima banyak reaksi positif yang mana mereka (aktivis luar negara) memaklumkan kebanyakan aktiviti sukarelawan dilakukan sukar mendapat keanggotaan atau ahli.

“Saya menyatakan hasrat atau inisitif daripada Ketua Menteri ini apabila diketengahkan ramai dalam kalangan masyarakat amnya yang berusia 18 hingga 60 tahun berminat untuk menjadi sukarelawan.

“Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas lagi saya jemput mereka datang ke Melaka. Jika semuanya berjalan lancar dijangka sekumpulan aktivis asing akan datang ke Melaka hujung tahun ini bagi mempelajari dan melihat bagaimana sistem PARAKOM berfungsi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans Dalam Komuniti di Taman Tasek Utama, di sini, 14 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Saiful Nizam berkata, inisiatif itu turut menarik perhatian St. John dari beberapa negeri lain di negara ini yang menyatakan hasrat mahu ‘menuntut ilmu’ dengan Melaka.

“Inisiatif PARAKOM ini sebenarnya banyak dilaksanakan di negara-negara maju yang lebih besar dan kita di Melaka berjaya melaksanakan inovasi dalam dunia medik itu sendiri, usaha itu menarik perhatian domestik serta global.

“Boleh dikatakan inisiatif ini memberi satu nilai tambah dan perkembangan positif dalam masyarakat kita apatah lagi Melaka merupakan negeri pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post WADAR PENJARA MAUT DIREMPUH LORI SIMEN
Next post FARA ROSNINA HARUMKAN NAMA MELAKA DI KOREA SELATAN