Sorting by

×

WADAR PENJARA MAUT DIREMPUH LORI SIMEN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SUNGAI UDANG 16 Mei – Wadar penjara maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori simen dalam kejadian di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) berhampiran persimpangan lampu isyarat tempat pelupusan sampah Sungai Udang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang, mangsa Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang berkhidmat di Penjara Dusun Dato’ Murad meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dan lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun dikatakan menghala ke arah Masjid Tanah.

“Ketika melalui lokasi kejadian, lori terbabit didakwa mengalami masalah brek lalu pemandu kenderaan berat itu dikatakan mengelak ke bahu jalan sebelah kiri.

“Kenderaan itu kemudian dikatakan bergerak terus sebelum merempuh belakang motosikal mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Indah, Sungai Udang,” katanya.

Menurutnya, akibat rempuhan itu mangsa terperosok di bawah lori sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan termasuk kaki dan kepala.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat manakala pemandu lori itu kini ditahan untuk siasatan,” katanya.

Jelasnya, kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2234
Kongsi :
Previous post PEKERJA KILANG CEMAS, STOR PENYIMPANAN BAHAN KIMIA TERBAKAR
Next post INISIATIF PARAKOM TARIK PERHATIAN DUNIA