
WRUR: TIDAK PERLU IKUT PROTOKOL
LENDU 22 Mei – Tidak perlu mengikut protokol atau mendapatkan tarikh janji temu untuk berjumpa Yang Berhormat (YB) kawasan masing-masing, antara faktor Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) semakin menjadi perhatian rakyat Melaka.
Rozidah Hassan, 62, berkata WRUR bukan sahaja medan untuk menyelesaikan masalah komuniti tetapi peluang itu digunakan pemimpin setempat bagi mengenal pasti golongan kurang berkemampuan untuk dibantu dengan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.
Dia meluahkan rasa syukur kerana nasib abangnya mendapat perhatian pada penganjuran WRUR Dewan Udangan Negeri (DUN) Lendu yang sedang berlangsung ketika ini.
“Saya berasa lebih selesa untuk meluahkan masalah kepada pemimpin setempat ketika perjumpaan dalam majlis tidak terlalu mengikut protokol, bebas untuk bercerita tentang masalah sedang dialami.
“Program WRUR wajar diteruskan kerana pemimpin yang datang kepada rakyat. Sebelum ini mungkin ada dalam kalangan rakyat yang memilih untuk memendamkan masalah mereka, atas alasan malu atau berasa tidak layak untuk dibantu terutamanya dalam kalangan ibu tunggal, pesakit terlantar dan warga emas,” katanya.
Dia yang tinggal di Jalan Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, berkata demikian ketika ditemui pada Program Masyarakat Di Hati Majlis Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2025 bersempena WRUR DUN Lendu di Jalan Sekolah Kebangsaan Datuk Tambi Chik Karim, di sini, semalam.
Program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan turut hadir adalah Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Melaka serta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu.
Hadir sama Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat, Ketua Ahli Majlis MPAG, Ghafar Ngah; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan MPAG.
Terdahulu pada program itu Rozidah, menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan daripada MPAG yang disampaikan oleh Sulaiman.
Katanya, dia kini menjaga abangnya berusia 75 tahun yang terlantar akibat pelbagagai masalah kesihatan yang kronik termasuk angin ahmar, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
“Sebelum ini saya tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur, tetapi saya maklumkan kepada mereka mahu pulang ke Melaka untuk jaga abang. Alhamdulillah keadaan abang mendapat perhatian daripada MPAG yang menghulurkan sumbangan ini bagi meringankan beban perbelanjaan kami,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.