Sorting by

×

ANAK TANJUNG BIDARA TERIMA KOMPUTER RIBA SUMBANGAN ‘TOK RAUF’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Jun – Sumbangan komputer riba yang disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi bekalan selain menyuntik semangat buat tiga anak jati Tanjung Bidara yang akan melanjutkan pengajian masing-masing ke unversiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sumbangan itu diserahkan kepada dua penerima sumbangan dan wakil mereka pada Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Nur Aliyya Erlina Abu, 18, dari Taman Bidara Jaya akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor berkata, sumbangan berkenaan amat penting dan berguna buat dirinya terutama bagi menyiapkan tugasan yang menjadi kebiasaan buat seorang pelajar.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, sumbangan diterima ini umpama amanah dan menyuntik semangat dalam diri saya untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, seterusnya mengharumkan nama Tanjung Bidara.

“Insya-Allah doakan saya berjaya dalam pelajaran dan pulang semula ke Melaka untuk menabur bakti di negeri ini kerana apa yang saya lihat banyak peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan hasil pelaburan yang masuk ke Melaka,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

6163434948195454710
NORSHIDAN mewakili anaknya ketika menerima sumbangan komputer riba yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.Foto Afiq Mustaffa

Sementara itu Norshidan Hashim, 44, bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta pula mewakili anaknya yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil.

Katanya, sumbangan itu membantunya berjimat kerana perlu menampung empat lagi anak yang masih bersekolah, manakala isterinya pula baru sahaja mula bekerja.

“Jika komputer riba ini dibeli sendiri saya mungkin perlu sediakan antara RM2,000 ke RM3,000. Alhamdulillah permohonan saya diluluskan jadi banyak yang dijimatkan dan diguna untuk beli keperluan kami yang lain,” katanya.

Manakala Muhammad Aqil Khalish Rosman, 17, dari Taman Seruling Jaya akan mengikuti kursus pelancongan di Politeknik Hulu Terengganu, Terengganu, tidak menyangka sumbangan itu akan disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri.

“Sebelum ini memang ada perancangan untuk beli komputer riba tetapi memerlukan belanja agak besar, apabila sudah terima sumbangan wang berkenaan boleh digunakan untuk menyediakan keperluan lain sepanjang tempoh pengajian nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post ILMU KEIBUBAPAAN PANDUAN PENTING BUAT BAKAL IBU