Sorting by

×

TOKONG 178 TAHUN JADI NADI KOMUNITI CINA TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 17 Jun – Berusia 178 tahun, Tokong Cheng Wah Keong bukan sahaja kekal sebagai antara rumah ibadat tertua di kawasan ini, malah terus berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti masyarakat Cina menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan warisan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Tokong Cheng Wah Keong, Tan Soon Tai, 51, berkata, tokong bersejarah yang diasaskan komuniti Baba dan Nyonya itu menjadi tempat pertemuan masyarakat Cina daripada pelbagai keturunan termasuk Hokkien, Hakka dan Teochew sejak sekian lama.

Menurut beliau, selain menjadi lokasi menjalankan aktiviti keagamaan, tokong tersebut turut aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Setiap tahun kami menyediakan kira-kira 200 pek makanan kering untuk diagihkan kepada rumah kebajikan, pusat jagaan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sejak tahun 2021 banyak membantu tokong berusia lebih satu abad ini yang mana membantu pihak pengurusan membayar bil utiliti serta menyumbang kit makanan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Malam Lestari Warisan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas yang disempurnakan Abdul Razak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Sdn Bhd, Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Soon Tai berkata, Tokong Cheng Wah Keong dilengkapi pelbagai kemudahan dan fasiliti yang membolehkannya berfungsi sebagai pusat komuniti bagi masyarakat setempat.

Katanya, tokong itu turut menjadi lokasi penyampaian bantuan kebajikan selain menjadi tempat penganjuran pelbagai program kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.

“Selain itu, tokong ini juga menjadi lokasi penganjuran pelbagai program masyarakat termasuk jamuan makan malam tahunan yang mampu menghimpunkan sehingga 2,500 pengunjung pada satu-satu masa,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post ANAK TANJUNG BIDARA TERIMA KOMPUTER RIBA SUMBANGAN ‘TOK RAUF’
Next post WRUR TELOK MAS : ‘TOK AJAK’ MAHU ZIARAH 100 RUMAH