Sorting by

×

WRUR TELOK MAS : ‘TOK AJAK’ MAHU ZIARAH 100 RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TELOK MAS 17 Jun – Dari rumah ke rumah, suara dan keluhan penduduk akan terus disantuni menerusi Program Ziarah Kasih yang menyasarkan hampir 100 kediaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Usaha itu dipergiatkan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas menerusi kerjasama pelbagai agensi yang turun padang menyantuni rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sasaran itu jauh lebih tinggi berbanding kebiasaan hasil penglibatan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurutnya, Program Ziarah Kasih bukanlah sesuatu yang baharu di DUN Telok Mas kerana ia telah lama menjadi antara pendekatan diamalkan bagi menyantuni masyarakat serta mengenal pasti masalah dihadapi penduduk.

“Alhamdulillah, kita memang mengamalkan ziarah kasih di dalam DUN ini bukan kerana semata-mata WRUR yang sedang berjalan, tetapi kita memperhebatkannya lagi apabila datangnya WRUR ke Telok Mas.

“Biasanya dalam seminggu saya buat ziarah sekitar 10 rumah, tetapi oleh kerana program WRUR ini dengan kerjasama pelbagai agensi, hampir 100 rumah akan dapat kita ziarahi sepanjang minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MBMB Sayang Rakyat (MeSRa) dan Bandaraya Penyayang Telok Mas sempena Program WRUR DUN Telok Mas di Ujong Pasir, di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, ziarah kasih bukan sekadar menyampaikan bantuan, sebaliknya menjadi medium untuk mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi penduduk.

Katanya, menerusi lawatan tersebut, pelbagai isu berkaitan kebajikan, keperluan hidup dan keadaan kediaman dapat dikenal pasti sebelum tindakan susulan diambil oleh agensi berkaitan.

“Bila kita turun padang dan melihat sendiri keadaan mereka, lebih mudah untuk kita membantu serta mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post TOKONG 178 TAHUN JADI NADI KOMUNITI CINA TELOK MAS
Next post WRUR TELOK MAS: PBT BUKAN SEKADAR PEMUNGUT CUKAI