Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: PBT BUKAN SEKADAR PEMUNGUT CUKAI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 17 Jun – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pemungut cukai, sebaliknya pihak pemudah cara yang memainkan peranan lebih luas dan besar terutama dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat di kawasan pentadbiran masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peranan itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan Program Bandaraya Penyayang dan MBMB Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan intervensi telah dilaksanakan termasuk kerja baik pulih rumah serta bantuan keperluan asas bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Alhamdulillah, kita bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dapat menyelesaikan beberapa permasalahan penduduk. Ada yang memerlukan bantuan keperluan hidup dan ada juga rumah yang telah dibaik pulih oleh MBMB.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada MBMB atas usaha yang dilaksanakan demi membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program MeSRa dan Bandaraya Penyayang Telok Mas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Ujong Pasir, di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha Bandaraya MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, pendekatan seperti itu wajar dijadikan contoh oleh semua PBT kerana ia membolehkan masalah masyarakat ditangani dengan lebih berkesan.

“Program ini membuktikan bahawa PBT juga merupakan agensi yang menyelesaikan permasalahan masyarakat di bawah kawasan pentadbirannya.

“Saya harap lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian selain mengukuhkan hubungan antara PBT dan masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS : ‘TOK AJAK’ MAHU ZIARAH 100 RUMAH
Next post BERANI BERDEPAN ISU PRINSIP YB ALLEX