
BERANI BERDEPAN ISU PRINSIP YB ALLEX
KESIDANG 17 Jun – Tidak berselindung di sebalik jawatan dan protokol, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin menjadikan keberanian berdepan masalah rakyat sebagai prinsip utama sepanjang hampir dua penggal berkhidmat.
Menurut beliau, pendekatan yang diamalkan sejak hari pertama bergelar wakil rakyat adalah sentiasa berada di barisan hadapan ketika berlakunya krisis, selain menghapuskan jurang antara dirinya dengan kakitangan serta penduduk setempat.
Katanya, beliau tidak pernah menganggap dirinya berbeza daripada pegawai dan kakitangan yang bertugas bersamanya dan itu menjadi antara fomula kerja ampuh dalam membantunya menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya tidak suka ada jurang yang besar antara saya dan staf. Apa yang mereka makan, saya makan. Ke mana mereka pergi, saya pergi.
“Pernah ketika banjir berlaku, seorang penghulu memaklumkan tidak mempunyai kenderaan untuk keluar menjalankan tugas. Saya sendiri memandu kereta mengambilnya di rumah untuk turun ke lapangan. Bagi saya itu bukan isu kerana keutamaan saya adalah menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Allex, beliau percaya seorang wakil rakyat perlu berani berdepan dengan masalah dan bukannya mengelak daripada kritikan atau aduan masyarakat.
“Apabila berlaku krisis seperti gangguan bekalan air atau banjir, saya tidak lari daripada masalah. Sebaliknya saya membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat berhubung terus dengan saya.
“Orang boleh telefon, WhatsApp atau luahkan pandangan secara terus. Walaupun marah sekalipun, saya tetap mahu dengar kerana daripada situ kita dapat mengesan masalah lebih awal sebelum ia menjadi lebih besar,” katanya.
Bagi memudahkan komunikasi, beliau mewujudkan lebih 20 kumpulan WhatsApp melibatkan penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ahli majlis, pegawai agensi kerajaan serta kakitangannya sendiri.
Katanya, setiap kumpulan diwujudkan mengikut kawasan dan keperluan bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan pantas.
“Apabila ada isu, penduduk hanya perlu maklumkan dalam kumpulan dan tindakan susulan boleh dibuat dengan lebih cepat kerana pegawai yang bertanggungjawab juga berada dalam kumpulan yang sama,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan platform komunikasi itu banyak membantu mempercepatkan penyelesaian masalah selain memberi peluang kepada rakyat untuk bersuara secara terus.
Selain itu, Allex turut menegaskan bahawa penyelesaian sesuatu masalah tidak boleh dilakukan hanya dengan menerima laporan di pejabat semata-mata, sebaliknya, beliau memilih untuk turun sendiri ke lokasi kejadian bagi memahami punca sebenar sesuatu isu.
“Kalau berlaku banjir, kita perlu turun ketika banjir sedang berlaku. Kalau datang selepas air surut, kita mungkin hanya nampak longkang rosak atau tersumbat, tetapi tidak tahu punca sebenar.
“Saya pernah berjalan kaki mengikut laluan saliran dari jalan utama sehingga ke penghujung sistem perparitan semata-mata untuk memahami bagaimana aliran air bergerak dan mengenal pasti punca banjir,” katanya.
Dalam usaha memastikan rakyat mudah menghubunginya, beliau turut mengedarkan nombor telefon peribadinya secara meluas melalui pelbagai program kemasyarakatan.
“Saya cetak pelekat yang mengandungi nombor telefon saya dan edarkan kepada orang ramai dalam pelbagai program.
“Setakat hari ini, saya mempunyai lebih 26,000 nombor penduduk dan pengadu dalam telefon bimbit saya. Ada yang bukan dari kawasan Kesidang, tetapi saya tetap cuba membantu selagi termampu,” katanya.
Beliau percaya hubungan yang rapat dengan rakyat serta kesediaan mendengar setiap aduan merupakan kunci utama dalam memastikan masalah dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Bagi saya, tugas wakil rakyat bukan sekadar hadir ketika majlis atau program rasmi. Tugas sebenar adalah berani berdepan isu, mendengar keluhan rakyat dan mencari jalan penyelesaian terbaik walaupun berdepan kritikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


