Sorting by

×

BAKTI TOKOH MAAL HIJRAH WAJAR JADI SURI TELADAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

TELOK MAS 16 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM68,000 bagi menghargai dan mengiktiraf 13 Tokoh Maal Hijrah  atas jasa serta peranan mereka dalam memperkukuh syiar Islam selain menyumbang kepada pembangunan ummah di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap individu yang banyak berbakti dalam pelbagai bidang demi memartabatkan Islam dan kesejahteraan masyarakat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini.

“Semoga bakti yang dicurahkan menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menabur bakti demi agama dan negeri tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M bertemakan ‘MADANI Dihayati Ummah Diberkati’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir Timbalan Exco Sains Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Pada majlis sama, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut memperuntukkan RM11,000 kepada seorang usahawan asnaf sebagai suntikan semangat untuk terus mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup.

Menurut Ab Rauf, sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, seramai 163 usahawan asnaf telah menerima manfaat melalui pelbagai inisiatif disalurkan MAIM dengan jumlah keseluruhan dana mencecah RM472,000.

“Tekad kita adalah memastikan tiada rakyat yang terpinggir dan kerajaan akan terus membantu membawa perubahan yang lebih baik buat rakyat Melaka,” katanya.

Beliau turut meminta seluruh masyarakat agar menjiwai peristiwa hijrah dengan mengamalkan nilai saling membantu, mengambil berat dan berkongsi rezeki selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Marilah bersama-sama kita memohon kepada Allah SWT agar setiap bakti yang dicurahkan, setiap usaha digerakkan serta setiap langkah kebaikan yang kita mulakan diberkati dan menjadi asbab Melaka terus dilimpahi rahmat, keamanan serta kesejahteraan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post RM6.87 JUTA NAIK TARAF 134 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MELAKA