Sorting by

×

SAMBUTAN TIGA DEKAD MUZIUM SAMUDERA TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 22 Jun – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bercadang menganjurkan sambutan ulang tahun ke-30 Muzium Samudera, tahun ini.

Kurator PERZIM Nurman Mohd Baroldin berkata, muzium yang dirasmikan pada Jun 1994 itu kini telah berusia tiga dekad dan masih kekal menjadi antara tarikan buat pelancong ke negeri ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, tarikh dan pengisian sambutan kini masih dalam perbincangan dan segala butirannya akan dimaklumkan kelak.

“Untuk sambutan itu, kita juga akan bekerjasama dengan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memandangkan Muzium TLDM juga merupakan sebahagian daripada pakej Muzium Samudera.

“Setakat ini, semuanya masih di dalam perancangan dan Insya-Allah kita akan maklumkan perincian sambutannya apabila dimuktamadkan kelak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Santai Bicara @Muzium Samudera Penyu Karah Khazanah Lautan Warisan Melaka di Muzium Samudera, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, Muzium Samudera merupakan replika kapal Flor de La Mar yang terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka.

Replika kapal Portugis itu dibina pada awal tahun 1990 dan berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.

Kapal ini menggunakan layar berbentuk segi tiga atau layar segi empat, dan menggunakan kayu jenis cengal dan resak.

Di dalam perut kapal ini terdapat khazanah bangsa yang tidak ternilai yang diambil oleh penjajah selepas berjaya menakluki Melaka pada tahun 1511.

Mengikut catatan sejarah, kapal ini telah tenggelam pada 26 Januari 1512 di Selat Melaka ketika dalam pelayaran ke Eropah.

Kapal ini berfungsi sebagai kapal dagang dan kapal perang, saiz dan kemampuan muatannya adalah berbeza mengikut keperluan semasa abad ke-16 dan 17.

Selain replika yang menarik, muzium ini turut menempatkan sejarah maritim dan kegemilangan negeri Melaka seperti lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post PERNAH BERGELAR ASNAF, ROSITA BANGKIT JADI USAHAWAN BERJAYA
Next post POLITEKNIK MERLIMAU TUAN RUMAH ‘PIALA DUNIA ROBOT’ 2025