
LEBIH 6,000 LEPASAN SPM TOLAK TAWARAN KE IPT
MERLIMAU 26 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menjalankan kajian bagi memahami kecenderungan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih untuk tidak menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, berdasarkan permohonan masuk ke IPT menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online, daripada 9,532 yang ditawarkan hanya 3,000 bersetuju menerima tawaran.
“Baki lebih 6,000 itu ada yang memilih untuk meneruskan pembelajaran ke Tingkatan 6 dan ada juga yang tidak tahu apa aliran mahu dipilih.
“Saya menggesa agar satu kajian dilaksanakan bagi memahami faktor utama dan bagaimana kaedah untuk mengajak sebilangan besar lepasan SPM ini agar memilih menyambung pelajaran.
“Ada dalam kalangan yang memilih untuk menyambung ke Tingkatan 6 berbanding menyertai aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mana negara pada akan datang memerlukan ramai tenaga mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan 18th Malaysia FIRA Roboworld Cup 2025 di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail serta kenamaan lain.
Katanya, kerajaan juga menyediakan Dermasiswa kepada pelajar lepasan SPM daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana memilih menyambung pelajaran ke IPT dan tidak perlu dibayar semula.
“Program aliran TVET di mana-mana IPT turut menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk biasiswa menerusi seliaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Perkara ini wajar diberi perhatian kerana ia memberi impak dalam perancangan masa depan pendidikan negara.
“Saya harap ibu bapa juga celik dalam hal begini, kerana bidang TVET ini merupakan bidang yang amat diperlukan dalam negara dan diharapkan pelajar memilih secara waras untuk memilih yang terbaik demi masa negara mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.