
GIAT PACU EKONOMI ISLAM, AZMAR DIANGKAT TOKOH MAAL HIJRAH MELAKA
BEMBAN 27 Jun – Pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan pembangunan hartanah negara, Datuk Azmar Talib tidak asing dalam menyumbang kepakaran beliau demi kemajuan ummah.
Namun, bagi beliau semua usaha yang dilakukan selama ini hanyalah amanah yang perlu ditunaikan bukan untuk meraih penghargaan atau sanjungan.
Azmar yang berusia 65 tahun diberi penghormatan tertinggi apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka 1447H/2025M bagi Anugerah Abu Bakar As-Siddiq dalam satu majlis di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, di sini, semalam.
Pengiktirafan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena sambutan Maal Hijrah bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’.
Anak jati Masjid Tanah ini tidak menyangka namanya disebut sebagai penerima anugerah berprestij itu, apatah lagi beliau percaya ramai lagi individu lain lebih layak dan berjasa dalam memperkasa pembangunan Islam di negeri ini.
“Saya amat terperanjat apabila pengacara majlis mengumumkan saya. Pada awalnya rasa mahu tolak anugerah ini sebab saya rasa ramai lagi yang lebih layak, lebih banyak menyumbang. Tapi apabila diminta menerima saya akur, alhamdulillah,” katanya kepada pemberita.
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd itu bukan asing dalam dunia dasar dan pembangunan ekonomi Islam.
Aktif dalam perkhidmatan awam dan institusi berkaitan umat Islam, beliau kini memegang beberapa peranan penting termasuk Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Ahli Lembaga Pelaburan Tabung Haji.
“Minat dan keupayaan saya dalam bidang ekonomi khususnya hartanah menjadi landasan untuk menyumbang dalam pengurusan wakaf dan aset-aset Islam di Melaka.
“Kita ada banyak harta wakaf yang boleh diuruskan dengan lebih cekap. Jika tidak, ia tidak dapat memberi manfaat sebenar kepada ummah. Saya cuba sedaya upaya untuk membantu menaikkan taraf ekonomi umat Islam.
“Ekonomi orang kita masih ketinggalan. Ramai yang masih bergantung kepada bantuan kerajaan dan kurang terlibat dalam sektor perniagaan.
“Saya melihat potensi besar jika harta zakat dan wakaf dimanfaatkan secara strategik, supaya ia bukan sekadar bantuan, tetapi menjadi peluang menjana pendapatan dan ekonomi berpanjangan,” katanya.
Beliau menyatakan hasrat melihat lebih ramai usahawan Muslim muncul, hasil daripada pembangunan sistematik aset-aset Islam yang kini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Banyak lagi asnaf yang perlu dibantu dan ini misi saya. Kita wujudkan peluang, bukan sekadar hulur bantuan. Itulah erti sebenar hijrah dalam konteks kemajuan umat hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.