Sorting by

×

IKAN MATI DI SUNGAI MELAKA: KERAJAAN NEGERI AMBIL TINDAKAN SEGERA, SIASATAN SEDANG DIJALANKAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PENGKALAN BATU 27 Jun – Kerajaan Negeri memandang serius insiden kematian ikan di Sungai Melaka Fasa 2 yang dilaporkan sejak semalam dan telah mengarahkan tindakan segera diambil oleh semua agensi berkaitan bagi mengawal keadaan serta melindungi alam sekitar di negeri ini.

Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai lebih 30 kakitangan operasi telah digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh di sepanjang kawasan terjejas, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Jelas PPSPM, kerja-kerja pembersihan itu dimulakan seawal pagi selepas Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka selesai mengambil sampel air dan ikan untuk siasatan lanjut.

“PPSPM komited melaksanakan kerja-kerja pembersihan secepat mungkin memandangkan Sungai Melaka merupakan mercu tanda pelancongan negeri yang perlu sentiasa dijaga kebersihannya,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, BKSA Melaka juga telah menjalankan operasi kecemasan sejak tengah malam tadi dan pemerhatian awal mendapati terdapat kesan seakan berminyak di permukaan air sungai, menimbulkan kebimbangan berlakunya pencemaran.

Fb img 1751018047130
PENGAMBILAN sampel air dan ikan oleh anggota penguatkuasa BKSA Melaka. Foto BKSA Melaka

Menurutnya, pasukan teknikal BKSA telah menjalankan proses pengambilan sampel ikan dan air bagi tujuan analisis makmal serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Operasi pengesanan sedang giat dijalankan, termasuk penjejakan bermula dari kawasan Batu Hampar hingga ke kawasan perindustrian berhampiran bahagian hulu sungai. Siasatan sedang diteruskan secara menyeluruh oleh pasukan penguatkuasa BKSA,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa sekiranya siasatan BKSA mendapati terdapat pihak yang melakukan pelepasan bahan tercemar secara tidak sah, tindakan undang-undang tegas akan dikenakan mengikut peruntukan Enakmen Sumber Air Negeri Melaka, termasuk boleh dikenakan kompaun, denda serta pendakwaan di mahkamah sekiranya terbukti bersalah.

Justeru, mana-mana pihak yang menyaksikan aktiviti mencurigakan seperti pelepasan bahan tercemar dapat segera melaporkannya kepada BKSA atau pihak berkuasa.

“Kerajaan Negeri Melaka memberikan jaminan bahawa isu ini sedang ditangani secara profesional, telus dan bersepadu oleh semua agensi terlibat.

“Kerajaan juga menegaskan komitmen berterusan dalam memelihara kebersihan, keselamatan dan kelestarian Sungai Melaka yang merupakan khazanah negeri dan warisan dunia,” tambah PPSPM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post BUDAK 12 TAHUN MAUT, TUJUH CEDERA DALAM NAHAS DI KM189.1
Next post MELAKA ANJUR 500 JUALAN RAHMAH SETAKAT JANUARI HINGGA JUN 2025