Sorting by

×

MELAKA ANGKAT PRODUK ORANG ASLI DI WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Produk-produk kraftangan dan hasil hutan masyarakat Orang Asli Melaka akan diperkenalkan kepada dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, September depan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam mengangkat dan mempromosikan hasil tangan Orang Asli di negeri ini yang mempunyai keunikan tersendiri.

Menurutnya, di Melaka terdapat lebih 20 usahawan Orang Asli yang aktif menjual pelbagai jenis produk menarik, antaranya makanan, seni kraftangan serta hasil hutan seperti ubat-ubatan yang memberi khasiat kepada orang ramai.

“Selain menggunakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk sebagai ejen pemasaran, kita juga sudah berbincang untuk melibatkan usahawan Orang Asli dalam mana-mana program Kerajaan Negeri dan ia termasuklah WTD dan WTC 2025 yang akan menggamit kehadiran menteri-menteri pelancongan seluruh dunia.

“Jadi. kita percaya ini (WTD dan WTC 2025) merupakan platform terbaik untuk kita mengangkat dan mempromosikan produk usahawan Orang Asli Melaka ini ke mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2025 di Padang Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Dato’ Abdul Kahar Abdullah

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Noor serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Mohd Akmal, KUOA 2025 yang diadakan selama tiga hari itu membuka ruang dan peluang cukup besar dalam usaha memperkenalkan kepelbagaian produk dan budaya masyarakat Orang Asli yang ada di negara ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, beliau menzahirkan penghargaan kepada KKDW kerana telah memilih Melaka sebagai tuan rumah bagi karnival peringkat kebangsaan itu, selain menyasarkan lebih RM150,000 nilai jualan dapat dijana oleh usahawan pada karnival tahun ini.

KUOA 2025 menghimpunkan seramai 62 usahawan masyarakat Orang Asli semenanjung Malaysia yang mengetengahkan pelbagai produk jualan selain diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi, persembahan kebudayaan, demo, perkampungan budaya serta persembahan artis popular tanah air.

Karnival itu merupakan antara usaha KKDW melalui JAKOA dalam memperkenal dan mengetengahkan produk usahawan, keunikan serta kebudayaan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post TIKET ZOO MELAKA LEBIH JIMAT DI MELAKA AGROFEST 2025
Next post MELAKA SEDIA PERUNTUKAN KHAS BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI