
MELAKA SEDIA PERUNTUKAN KHAS BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI
BANDA HILIR 28 Jun – Kerajaan Melaka terus komited dalam membela kebajikan kira-kira 2,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini dengan menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih dan membina rumah baharu bagi golongan tersebut.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu diilhamkan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam memastikan Orang Asli di negeri ini mendiami kediaman yang selesa dan selamat, selain tidak dipinggirkan daripada menerima pelbagai manfaat serta bantuan Kerajaan Negeri.
Jelas beliau, inisiatif tersebut bakal dilaksanakan di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bermula tahun depan dan setakat ini pihaknya telah menerima lebih 70 permohonan untuk baik pulih dan bina baharu rumah daripada golongan berkenaan.
“Memang benar, kita ada menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk baik pulih dan bina baharu rumah, namun disebabkan Melaka tidak memiliki perkampungan Orang Asli yang besar berbanding negeri-negeri lain, peruntukan yang diterima itu rendah, sedangkan permohonan yang kita terima adalah banyak.
“Jadi, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ketua Menteri telah bersetuju untuk LPM membantu permohonan daripada Orang Asli ini dan kita akan lihat serta teliti mengikut keutamaan.
“Kita sasarkan pada setiap tahun, sekurang-kurangnya satu projek bina baharu dan dua baik pulih rumah masyarakat Orang Asli ini dapat kita realisasikan dengan peruntukan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2025 di Padang Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.
Majlis itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Dato’ Abdul Kahar Abdullah.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Noor serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal turut memaklumkan bahawa Melaka menjadi antara negeri yang bukan sahaja mewartakan Perkampungan Orang Asli bahkan turut memberikan geran tanah kepada masyarakat berkenaan di kawasan Gapam Baru.
Istimewanya, beliau berkata, selain diberikan geran, cukai tanah yang dikenakan kepada mereka hanyalah RM5 sahaja untuk setahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.