Sorting by

×

ORANG ASLI BUKAN MASYARAKAT KELAS KETIGA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 29 Jun – Kerajaan Negeri terus komited memastikan kira-kira 2,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini menikmati kehidupan yang seimbang dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta kemajuan negeri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia sekali gus menunjukkan manifestasi dan komitmen Kerajaan Negeri memastikan segenap lapisan rakyat di negeri ini tidak terpinggir dan terus dibantu sebaiknya.

Menurut beliau, bagi memperkasa kebajikan dan kesejahteraan Orang Asli di Melaka, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan Negeri meliputi pelbagai aspek, termasuklah infrastruktur, kesihatan dan pendidikan.

“Antara inisiatif yang diwujudkan adalah perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian kepada Tok Batin, Ahli Lembaga Adat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dengan nilai perlindungan sehingga RM30,000 bagi kesihatan dan RM10,000 bagi khairat kematian.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan Bantuan Persekolahan Murid Orang Asli melibatkan peruntukan berjumlah RM70,000 kepada 700 pelajar Orang Asli bermula dari peringkat prasekolah hinggalah sekolah menengah.

“Pada masa sama, kita juga tidak melupakan aspek infrastruktur, umpamanya baik pulih rumah dan pembinaan dewan untuk aktiviti komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2025 di Padang Dataran Pahlawan, di sini, semalam.

Majlis itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Dato’ Abdul Kahar Abdullah.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Noor serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal dalam sudut pembangunan keusahawan, Kerajaan Negeri turut menggerakkan pelbagai agensi antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan JAKOA sendiri untuk menyediakan platform bagi melatih, membimbing dan memberi sokongan kepada Orang Asli di negeri ini untuk memasarkan produk masing-masing.

Dalam pada itu, beliau mewakili Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada KKDW dan JAKOA yang telah memperuntukkan sebanyak RM1.17 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan melibatkan infrastruktur, utiliti asas dan pemerkasaan ekonomi masyarakat Orang Asli di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1138
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI ‘TERJAH’ WRUR BEMBAN, SANTUNI PENDUDUK KAMPUNG
Next post LEBIH 20 KELAS PENDIDIKAN KHAS PARLIMEN KOTA MELAKA AKAN DINAIK TARAF