Sorting by

×

TAMAN LARANGAN PERKUKUH WARISAN KOTA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Taman Larangan, Banda Hilir memperkukuh peranannya sebagai tapak warisan apabila kajian ekskavasi arkeologi dijalankan di kawasan itu menemukan pelbagai artifak dan struktur pertahanan zaman silam.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kajian tersebut dilaksanakan dari 22 hingga 30 Mei lalu bagi memastikan sebarang pembangunan tidak menjejaskan tinggalan sejarah di kawasan itu.

“Kajian ini juga bertujuan merekodkan segala bentuk budaya manusia yang pernah berlaku di kawasan tersebut sebagai bukti sejarah, khususnya sejak zaman Kesultanan Melaka.

“Sebanyak empat petak berukuran satu meter persegi telah digali mengikut kaedah arkeologi dan menemukan bongkahan batu laterit yang dipercayai sebahagian daripada jajaran Kota Melaka semasa penjajahan Belanda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH–Banda Hilir) mengenai penemuan batu laterit di Taman Larangan pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Tambahnya, antara artifak lain yang turut ditemukan ialah batu bata lama, serpihan seramik, porselin putih biru zaman Dinasti Ming, kepingan syiling serta struktur pertahanan penting iaitu ‘Bastion Hendrica Louisa’.

“Kubu pertahanan era Belanda ini merupakan salah satu kubu strategik yang dibina di sepanjang Kota Melaka. Laporan Gabenor Belanda, Baltasar Bort menyatakan bahawa benteng tersebut dilengkapi tiga meriam gangsa dan sebuah meriam besi yang dipasang pada ketinggian 22 setengah kaki dari tanah.

“Walaupun tidak sebesar kubu pertahanan utama lain, Hendrica Louisa tetap memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan Kota Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post INSIDEN BAYI LEMAS, KERAJAAN NEGERI TELITI SEMULA GARIS PANDUAN BEDUNG BAYI DI TASKA
Next post DUA CEDERA TERKENA RENJATAN ELEKTRIK DI JALAN BACHANG