
PENDAFTARAN KOD QR TERNAKAN BERMULA 2026
SERI NEGERI 22 Julai – Pendaftaran ternakan melibatkan lembu dan kerbau menggunakan sistem kod respons pantas (QR) di negeri ini akan dimulakan pada tahun hadapan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu bertujuan untuk memudahkan lagi proses mengenal pasti pemilik ternakan dalam menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan.
“Selewat-lewatnya awal tahun hadapan kita akan melaksanakan inisiatif ini, buat permulaan cuma lembu dan kerbau. Kaedah ini juga melancarkan lagi aspek penguatkuasaan terutama apabila melibatkan aduan ternakan berkeliaran.
“Lembu dan kerbau yang dibiarkan berkeliaran bukan sahaja mengganggu kententeraman awam malah lebih serius lagi apabila mengakibatkan kemalangan maut,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu Dr. Muhamad Akmal berkata, bermula Ogos ini pula pemilik dan penternak diminta untuk mendaftarkan ternakan masing-masing dengan memasang tanda pengenalan fizikal (tagging).
Katanya, perkara itu tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru kerana pemilik dan penternak diberi masa antara tiga ke empat bulan untuk berbuat demikian dengan kos yang amat minima.
“Kita akan wajibkan perkara ini, tetapi bagi mengelakkan pemilik atau penternak daripada berasa terbeban kita bercadang untuk tawarkan beberapa inisiatif kepada mereka seperti pendaftaran lesen percuma dan menawarkan harga paling minima untuk ‘tagging’ pada telinga haiwan masing-masing.
“Semua ini bukan untuk menghukum tetapi mendidik pemilik dan penternak supaya lebih bertanggungjawab terhadap ternakan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.