
BAUCAR RM10,000 MENANTI PEMBELI RUMAH DI MAPEX 2025, 29 JULAI-3 OGOS INI
KESIDANG 22 Julai – Hanya dengan membeli rumah impian di Ekspo Perumahan dan Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka 2025 @ AEON Mall Bandaraya Melaka pada 29 Julai hingga 3 Ogos depan, pengunjung berpeluang memenangi baucar tunai bernilai RM10,000.
Itu antara tarikan yang dibawa Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka pada edisi kedua MAPEX Melaka 2025 yang diadakan selama enam hari.
Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han berkata, tawaran istimewa itu diberikan kepada 10 pembeli hartanah yang layak di mana setiap seorang bakal memenangi baucar tunai AEON bernilai RM1,000 setiap seorang, di mana hadiah tersebut boleh dituntut dalam tempoh tiga bulan selepas selesai proses perjanjian jual beli.
Jelas beliau, ekspo tersebut akan membawakan 2,267 unit hartanah pelbagai jenis membabitkan 34 buah projek hartanah pada harga serendah RM120,000 hingga RM3.79 juta.
“MAPEX 2025 kali ini akan disertai 14 pemaju, selain Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan institusi perbankan (BSN), di mana sebanyak 21 reruai akan dibuka di Centre Court AEON Bandaraya Melaka.
“Selain pameran dan jualan hartanah, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya promosi jualan rumah secara langsung di pentas utama, pertunjukan badut dan karikatur serta pelbagai lagi aktiviti untuk seisi keluarga,” katanya pada sidang media pengumuman MAPEX Melaka 2025 @ AEON Mall Bandaraya Melaka di Pejabat REHDA, di sini.
Hadir sama, Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How dan kepimpinan tertinggi REHDA Melaka.
Sementara itu, Chun How memaklumkan, ekspo kali ini menawarkan sebanyak 1,221 unit hartanah di dalam daerah Melaka Tengah, 946 unit di Jasin dan 100 unit di Alor Gajah.
Jelas beliau, antara hartanah yang paling banyak ditawarkan adalah rumah teres dua tingkat iaitu sebanyak 1,088 unit; diikuti kondominium, apartment, service apartment dan pangsapuri sebanyak 436 unit; rumah teres setingkat (411 unit) dan rumah berkembar (136 unit).
“Turut ditawarkan 106 unit lot kedai, pejabat dan industri; 57 unit banglo dan 33 unit rumah kluster dan townhouse,” katanya.
Dalam pada itu, Chun How turut menyeru orang ramai memanfaatkan MAPEX Melaka 2025 kali ini untuk membeli rumah idaman masing-masing memandangkan kadar faedah kini di tahap yang rendah, selain Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga kini berada di paras 2.75 peratus.
Jelasnya, ini adalah waktu terbaik ekoran harga rumah pada masa akan datang dijangka terus melambung disebabkan pelbagai faktor, antaranya kenaikan kos bahan binaan dan upah, selain ia turut dipengaruhi isu global seperti peperangan dan tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.
“Mewakili REHDA Melaka, saya turut mengambil kesempatan untuk merayu kepada kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia bukan sahaja membebankan pemaju, bahkan menjejaskan harga rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.