Sorting by

×

WRUR BERJAYA SENTUH HATI ORANG DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DUYONG 26 Julai – Kejayaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang menarik lebih 10,000 rakyat dalam pelbagai program sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuktikan inisiatif Kerajaan Negeri merakyatkan pentadbiran di peringkat akar umbi telah berjaya mencapai matlamatnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang dua minggu berlangsung WRUR edisi keenam di Duyong, sebanyak 174 program telah diadakan membabitkan pelbagai pengisian antaranya keagamaan, pendidikan, kebajikan, pembangunan dan lain-lain lagi.

Beliau menyatakan rasa bangga dengan penglibatan rakyat berbilang kaum dalam pelbagai acara dan program dianjurkan sehingga ia menjadi antara rekod terbaik dalam edisi penganjuran WRUR.

“Semua ini menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri dalam program turun padang merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri menerima sambutan yang sangat baik daripada rakyat Duyong yang mahu suara mereka didengari dan masalah setempat mereka diselesaikan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Duyong di Dewan Terbuka Semabok Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memuji usaha DUN Duyong dalam memperkasa inisiatif Kampung Digital apabila kesemua 21 buah kampung atau keseluruhan 3,634 premis di kawasan itu telah selesai didigitalkan dengan alamat baharu.

Tidak hanya itu, jelas beliau, menerusi WRUR juga, telah diadakan inisiatif penukaran kad pengenalan baharu alamat Kampung Digital secara terus kepada rakyat, di mana sehingga kini lebih 500 rakyat Duyong telah selesai menukar kad pengenalan baharu itu.

“Jadi, saya seru kepada yang lain untuk segera menukar kad pengenalan kepada alamat baharu ini kerana Kerajaan Negeri kini memberikan insentif penukaran kad pengenalan itu secara percuma.

“Tawaran khas ini diberikan sehingga hujung tahun ini, jadi rebutlah peluang kepada semua yang telah menerima alamat baharu Kampung Digital untuk menukar kad pengenalan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post SENYUMAN RAKYAT BUKTI KEJAYAAN WRUR – KM
Next post WRUR: DUYONG SERAH ‘BATON’ KEPADA REMBIA