
PPSPM GERAKKAN SKUAD HERO SUNGAI MELAKA
BANDA HILIR 27 Julai – Inisiatif Skuad Hero Sungai Melaka yang digerakkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) wajar dijadikan contoh, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, langkah itu menjadi manifestasi usaha proaktif pengusaha produk pelancongan negeri dalam memperkukuh kelestarian sungai dan tanggungjawab sosial merentas sektor.
“Saya difahamkan, inisiatif ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk 7-Eleven Malaysia, Infineon dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut serta dalam aktiviti pembersihan Sungai Melaka bersama para sukarelawan.
“Usaha ini wajar dijadikan contoh sebagai amalan tanggungjawab sosial korporat dalam menyokong kelestarian alam sekitar dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran T-Shirt Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe Melaka Sempena Ulangtahun PPSPM Ke-20 dan Pakej Cruise Rock The River Dengan Kerjasama Hard Rock Cafe Melaka, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.
Tambah Ketua Menteri, secara peribadi beliau amat berbangga dengan peranan aktif yang dimainkan oleh PPSPM, khususnya dalam memperkasa dan memperluas produk di bawah seliaan mereka yang kini menjadi antara tarikan ikonik dan kebanggaan Negeri Melaka.
Jelas beliau, ia termasuklah menjalin kolaborasi bersama pelbagai pihak dalam usaha untuk terus memacu pemerkasaan sektor pelancongan negeri.
“Saya percaya sinergi seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pelancongan Melaka bukan sekadar menawan pandangan, tetapi meninggalkan kenangan yang bermakna buat setiap pengunjung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.