Sorting by

×

UMMICARE MAIM TAMBAH ILMU KEPADA IBU ASNAF SELEPAS BERSALIN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus menunjukkan keprihatinan kepada golongan asnaf fakir dan miskin bukan sahaja dalam bentuk bantuan, bahkan sokongan menerusi pelbagai program berimpak.

Antara program memberi manfaat kepada penerima bantuan yang dianjurkan MAIM adalah Program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin (UMMICARE) yang kini sudah memasuki tahun kedua dianjurkan.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, UMMICARE merupakan sebuah program yang dikhususkan untuk memberi sokongan kesihatan fizikal dan mental kepada ibu-ibu asnaf atau fakir selepas bersalin agar mereka dapat melalui tempoh pemulihan dengan selamat, bermaruah dan terjaga dari sudut emosi dan fizikal.

Jelas beliau, program itu juga meningkatkan ilmu penjagaan bayi melalui bimbingan tentang penyusuan dan kebersihan agar dapat membantu peserta mengurus keluarga dengan lebih yakin dan berilmu.

“Pada masa sama, program ini juga menyediakan sokongan spiritual dan emosi berterusan melalui pendekatan Islamik seperti motivasi, zikir dan sokongan bagi mengelakkan kemurungan selepas bersalin dan memberi ketenangan jiwa kepada ibu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program UMMICARE di sebuah hotel di Ayer Keroh, pada Sabtu, yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM Rohaizah Abas.

Program itu disertai seramai 16 peserta terdiri daripada ibu hamil dan ibu lepas bersalin yang merupakan penerima bantuan MAIM dalam kategori asnaf fakir dan miskin.

Selain ceramah kerohanian dan simulasi penjagaan bayi dan ibu berpantang secara profesional, program itu turut memberi penekanan berkaitan ilmu mandi wajib, aqiqah, pemberian nama yang baik, tahnik, dan mencukur rambut bayi menurut Islam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post GABRIEL, ANAK ORANG ASLI PERTAMA TERIMA ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG
Next post JKM PERLUAS PROGRAM KASIH KANAK-KANAK KE 20 BUAH SEKOLAH