
LEBIH 100 PROGRAM WARNAI WRUR DUN KLEBANG
KLEBANG 27 September – Lebih 100 program disusun sepanjang penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, program disusun sepanjang dua minggu bermula 5 Oktober pastinya melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.
“Meskipun jumlah sebenar program belum dimuktamadkan, setakat ini sudah ada lebih 100 yang bakal dilaksanakan. Banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu bersama-sama menjayakan WRUR dan cadangan yang diterima disertakan dengan kertas kerja.
“Saya akan manfaatkan tempoh dua minggu sepanjang WRUR untuk menyantuni seramai mungkin penduduk di DUN Klebang, kita mahu inisiaitf turun padang oleh Kerajaan Negeri mencapai objektif penganjurannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain destinasi tumpuan pelancongan popular seperti Pantai Klebang, DUN itu sebenarnya memiliki banyak lagi lokasi lain yang menarik dan akan diberikan perhatian sepanjang WRUR.
“Penganjuran WRUR akan dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi potensi khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian, kerana ini adalah antara usaha atau kaedah yang boleh membantu meningkatkan lagi kesejahteraan hidup rakyat.
“Pastinya dalam tempoh 14 hari kita akan menjelajah desa dan taman perumahan untuk membantu masyarakat bagi menyelesaikan masalah,” katanya.
Jelasnya, selepas beberapa sisi penganjurannya, momentum WRUR dilihat semakin bertenaga, sekali gus membuktikan bahawa inisiatif adalah satu bentuk penghujung antara rakyat dan kerajaan yang berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.