
MELAKA HARGAI PELUANG SUARAKAN PANDANGAN INDUSTRI DALAM BELANJAWAN 2026
KOTA LAKSAMANA 27 September – Sesi libat urus Belanjawan 2026 platform bagi menyuarakan pandangan dan cadangan pemain industri, khususnya dalam sektor pelancongan dan pembuatan.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, berkata Melaka berterima kasih atas peluang diberikan untuk membentangkan keperluan dan potensi negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, Melaka bertuah kerana diberi ruang untuk bersama Perdana Menteri dalam sesi libat urus membabitkan dua sektor yang sangat penting iaitu pelancongan dan industri pembuatan.
“Kedua-dua sektor ini merupakan teras utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka dan menjadi sumber utama pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan Bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Khaidhirah, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh wakil industri untuk dipertimbangkan kerajaan, termasuk menjadikan industri halal sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
“Antara cadangan yang dibangkitkan ialah bagaimana industri halal boleh dijadikan katalis dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negara. Kita berharap Melaka dapat menjadi peneraju dan ‘champion’ dalam pembangunan industri halal ini,” katanya.
Selain itu beliau turut menyentuh kepentingan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor di Melaka yang kini berkembang pesat dan menarik minat pelabur antarabangsa.
“Kita mahu melihat bagaimana jaringan teknologi dapat dipertingkatkan, termasuk daripada segi kecerdasan buatan (AI) dan aspek teknikal, supaya sektor ini terus berdaya saing.
“Pandangan yang dikemukakan oleh pemain industri di lapangan diharap mendapat perhatian Perdana Menteri dan mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada Melaka, tetapi juga negara.
“Kita berharap segala permohonan dan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan sektor pelancongan dan pembuatan mendapat sokongan serta perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.