
WTD 2025: 133 USAHAWAN MELAKA DAPAT PELUANG TEMBUSI PASARAN BESAR
KLEBANG 28 September – Seramai 133 usahawan mikro, kecil dan sederhana di negeri ini mendapat peluang menembusi pasaran lebih besar menerusi Karnival Usahawan Melaka dan Pesta Makanan yang diadakan di Encore Melaka bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, peluang itu diperoleh menerusi sesi padanan perniagaan yang diadakan bersama 15 pemain industri perniagaan seperti pasar raya dan stesen minyak.
Jelas beliau, sesi padanan perniagaan itu turut mencatat nilai potensi jualan sebanyak RM14.97 juta, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan di negeri ini untuk terus terbang tinggi.
“Menerusi program ini, kita telah sediakan platform untuk usahawan-usahawan membawa produk mereka dan terus berjumpa kepada pihak pengurusan pasar raya dan stesen minyak untuk memasarkan produk mereka.
“Inilah cara Kerajaan Negeri membantu para usahawan di negeri ini supaya mereka dapat terus berkembang dan terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada usahawan di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di tapak Festival Layang-Layang Antarabangsa 2025 serta Karnival Usahawan Melaka dan Pesta Makanan, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Allex berkata, kerancakan sektor pelancongan di Melaka sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi tempias kepada usahawan, di mana ia dapat membantu produk Melaka terus bersinar di mata dunia.
“Bila ramai pelancong datang, umpamanya seperti WTD 2025 ini, ia secara tidak langsung membuka peluang besar kepada produk usahawan Melaka mendapat perhatian ramai,” tambahnya.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.