Sorting by

×

WTC 2025 : KONGSI PANDANGAN, PERKUKUH SEKTOR PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 28 September – Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 memberi peluang kepada Malaysia khususnya Melaka berkongsi pandangan serta cadangan dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, persidangan itu sejajar dengan indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Alhamdulillah acara berprestij ini mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran delegasi pelancongan dari seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju industri pelancongan global.

“Melaka amat berbesar hati menjadi tuan rumah bagi persidangan ini yang bukan sahaja meraikan seni, budaya dan industri pelancongan, tetapi juga membincangkan dasar dan strategi pembangunan sektor ini pada peringkat global.

“Resolusi yang dibincangkan amat penting kerana ia memberi tumpuan kepada pelancongan lestari dan memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan bandar-bandar utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad serta Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Chua Choon Hwa.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kehadiran delegasi antarabangsa jelas menunjukkan minat yang tinggi terhadap penganjuran persidangan berprestij ini.

“Acara ini sekali gus membuka ruang lebih luas untuk kerjasama antarabangsa dalam bidang pelancongan,” katanya.

KETUA Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing ketika hadir pada Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1984
Kongsi :
Previous post FESTIVAL LAYANG-LAYANG ANTARABANGSA TAMBAH SERI WTD 2025
Next post WTD 2025: 133 USAHAWAN MELAKA DAPAT PELUANG TEMBUSI PASARAN BESAR