Sorting by

×

PAMERAN PANGLIMA AWANG DILANJUTKAN SEHINGGA 14 OKTOBER

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 2 Oktober – Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malaca atau lebih dikenali sebagai Panglima Awang dilanjutkan sehingga 14 Oktober ini.

Pameran secara percuma yang dibawakan khas sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 di Encore Klebang itu telah bermula 23 September dan berakhir pada 30 September lalu.

Namun, melihat kepada impak besarnya kisah sejarah baharu yang sebelum ini ditutup, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Muzium Melaka mengambil keputusan untuk melanjutkannya dua minggu lagi bagi membolehkan rakyat, khususnya generasi muda menghayati kisah anak Melaka yang menjadi manusia pertama mengelilingi dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang lapan hari pameran itu berlangsung sehingga 30 Oktober, seramai lebih 12,000 pengunjung dari dalam dan luar negara telah melawat ke pameran berkenaan.

“Tahniah kepada Exco dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri serta PERZIM kerana telah membongkarkan kisah Panglima Awang dengan gambaran-gambaran sebenar tentang kehebatan Melayu.

“Pameran ini akan disambung dan saya minta semua pergilah menyaksikannya supaya kita dapat mengambil inspirasi kisah kehebatan Panglima Awang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Tautan Kenangan Legasi Berpanjangan’ PERZIM Tahun 2025.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh dan Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah.

Sementara itu, Erne berkata, pihaknya berharap pelanjutan tempoh pameran itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Melaka dan anak-anak muda di seluruh negara.

“Kami mensasarkan lebih ramai lagi pengunjung untuk melihat dan mempelajari sejarah pelayaran Enrique de Malaca terutama pelajar-pelajar sekolah dan insititusi pengajian tinggi,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post MELAKA LOKASI PENUTUP PROGRAM MADANI RAKYAT 2025
Next post MELAKA PERKASA PEMBANGUNAN BAKAT, LAHIR TENAGA KERJA BERKUALITI TINGGI