
MELAKA LOKASI PENUTUP PROGRAM MADANI RAKYAT 2025
AYER KEROH 2 Oktober – Reputasi Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjadikan negeri ini dipilih menjadi lokasi penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025.
Program tersebut bakal berlangsung di Politeknik Merlimau Melaka bermula 17 hingga 19 Oktober, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.
Sekretariat PMR 2025 dalam satu kenyataan memaklumkan, program berskala nasional itu merupakan inisiatif Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk, dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kerajaan Negeri Melaka selaku penganjur bersama.
Jelas kenyataan itu, PMR 2025 Edisi Melaka bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, di mana ia memberi penekanan kepada komitmen mempertahankan tanah air melalui prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), Pertahanan Bersama dan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS).
“Prinsip ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek ketenteraan, tetapi juga kesejahteraan, daya tahan dan solidariti rakyat berlandaskan enam teras Malaysia MADANI.
“Pemilihan Melaka sebagai lokasi PMR 2025 turut mengambil kira reputasinya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, selain bukan sahaja terkenal dengan warisan dan budaya, malah turut menonjol sebagai negeri yang progresif melalui kekayaan inovasi, kemajuan teknologi serta penekanan terhadap kesejahteraan rakyat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata kenyataan tersebut.
Menurut sekretariat berkenaan, sebagai lokasi penutup siri PMR 2025, edisi Melaka bakal tampil dengan pengisian yang lebih segar, inklusif dan bersasar, dengan memberi fokus kepada keperluan komuniti setempat.
Antara tarikan utama termasuklah reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan Negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, Jualan MADANI dan tawaran diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pameran ketenteraan dan pertunjukan payung terjun.
“Turut diadakan perkhidmatan kesihatan percuma, tawaran peluang pekerjaan, program pertukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), konsert yang menampilkan barisan artis popular tanah air, kenduri rakyat dan petting zoo.
“Selain sebagai platform penyampaian perkhidmatan, PMR 2025 Melaka turut menjadi wadah kebersamaan yang merapatkan hubungan erat antara rakyat dan kerajaan.
“Selaras dengan semangat tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 19 Oktober, bersama barisan pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” tambah sekretariat tersebut.
Untuk rekod, penganjuran di Melaka menandakan penutup siri PMR 2025 yang telah menyantuni lebih sejuta rakyat di tujuh lokasi di seluruh negara, sekali gus menjadi satu manifestasi komitmen kerajaan membawa perkhidmatan terus ke pintu rakyat.
Orang ramai dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan serta menyertai aktiviti menarik sepanjang program ini berlangsung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.