
SERLAH POTENSI, BENTUK KEMENJADIAN BELIA
KLEBANG 9 Oktober – Tidak hanya berkisar kepada mendengar dan menyelesaikan permasalahan setempat, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang turut memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, aspek paling diberikan perhatian adalah mewujudkan barisan pemimpin pelapis yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa aka datang.
Katanya, Program Pembangunan Pemimpin Pelapis bersempena WRUR DUN Klebang adalah platform terbaik bagi Kerajaan Negeri dalam melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis anak jati Melaka.
“Dalam kalangan peserta kali ini mungkin ada yang akan mewarisi kepimpinan negeri, jadi amat perlu untuk mereka didedahkan mengenai tanggungjawab menjaga Melaka apabila tiba masanya nanti.
“Mereka ini kita bekalkan dengan nilai-nilai murni seperti integriti, kebersamaan dan patriotisme yang amat penting serta perlu ada dalam jiwa setiap pemimpin. Kita membantu meningkatkan tahap keyakinan diri setiap peserta yang amat berguna bagi mereka menempuh cabaran pada masa akan datang.
“Perlu ada veteran, pemimpin yang ada sekarang dan pelapis (akan datang) jadi program seumpama ini membantu mereka lebih memahami berhubung dasar serta inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri atau Persekutuan, sekali gus mewujudkan kesinambungan yang amat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pembangunan Pemimpin Pelapis bersempena WRUR DUN Klebang di Japerun Klebang, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Menurut Ban Hong program itu melibatkan 200 peserta dari Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar dan SMK Bukit Rambai yang dianjurkan dengan kerjasama IPT, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta Pejabat Daerah Melaka Tengah.
“Program ini juga adalah sebagai persediaan buat anak-anak jati Melaka sekitar DUN Klebang sebelum mereka menyambung pengajian ke universiti.
“Sebenarnya WRUR adalah merangumi semua aspek bukan setakat berjumpa pemain industri, usahawan, penduduk taman perumahan atau desa, berikutan itu kita turut fokus kepada pembangunan belia di DUN Klebang ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.