
PELAJAR ANTARABANGSA TEROKA WARISAN, BUDAYA MELAKA
BANDA HILIR 22 Oktober – Program Heritage Trails @ Magnet 2025 menjadi platform bagi pelajar antarabangsa untuk mengenali dengan lebih mendalam berhubung sejarah, warisan, seni dan budaya yang ada di Negeri Melaka.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, progam berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai urus setia, sementara itu Kelab Sukan dan Kebajikan PERZIM pula dilantik entiti pelaksana.
“Seramai 500 pelajar antarabangsa sedang mengukuti pengajian di universiti awam dan swasta seluruh negara mengambil bahagian dalam program ini. Menerusi aktiviti disusun mereka berpeluang meneroka lokasi bersejarah dan ikonik sekitar Banda Hilir yang sarat dengan nilai-nilai warisan, sejarah selain seni bina bangunan unik menjadi kebanggaan Melaka.
“Program ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu pengalaman pembelajaran berasaskan warisan yang dapat menimbulkan rasa cinta terhadap budaya tempatan, selain mewujudkan jalinan persahabatan antara pelajar antarabangsa dan komuniti tempatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, penyertaan PERZIM dalam inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkasakan pelancongan warisan serta mengangkat Melaka sebagai destinasi ilmu dan budaya bertaraf dunia.
“PERZIM berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja memberi impak positif terhadap sektor pelancongan warisan negeri, tetapi turut membantu mempromosikan Melaka sebagai pusat pembelajaran dan rujukan sejarah kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.