Sorting by

×

FSSSM 2025: 15,000 DIJANGKA BANJIRI SUNGAI MELAKA HUJUNG MINGGU INI

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Oktober – Lebih 15,000 pengunjung disasar akan membanjiri Sungai Melaka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini bersempena penganjuran Festival Seni Selat Melaka x Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, berbanding penganjuran sebelum, festival kali ini dengan tema ‘Mulanya Di Sini! Pusat Pertemuan Budaya’ membawa kelainan apabila bakal membawakan 32 acara menarik sepanjang tiga hari penganjurannya.

Beliau berkata, selain padat dengan pelbagai program seperti Pertandingan pencungkilan bakat, karnival sukan rakyat, kempen busana etnik, pertandingan Joget X Zapin, Ratu Kebaya Pelancongan dan aktiviti pelancongan air, edisi kali ini buat julung kalinya turut membawakan Pasar Saloma yang menghimpunkan usahawan dengan konsep klasik.

“Istimewanya FSSSM 2025 selain acara berkonsep hiburan dan kekeluargaan, turut diselitkan pengisian keagamaan iaitu bacaan yasin dan tahlil yang akan membuka tirai penganjuran pada Khamis malam serta Geng Subuh Macam Jumaat bersama Mufti Melaka.

“Menariknya juga, sepanjang tiga hari berlangsungnya festival, pengunjung yang hadir dengan mengenakan busana tradisi akan mendapat diskaun 30 peratus untuk menaiki bot Melaka River Cruise, selain mereka turut berpeluang memenangi cabutan bertuah.

“Sebanyak 500 kilogram durian turut disediakan bagi pertandingan makan durian yang akan turut melibatkan penyertaan YB (Yang Behormat) selain PPSPM dan Kerajaan Negeri turut menyediakan juadah percuma iaitu kambing golek pada malam perasmian,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka Ezlina Elias, di Dataran Pengkalan Rama, di sini, semalam.

Menurut Shaharul Azuar, FSSSM 2025 lebih menarik apabila adanya garapan elemen sejarah dan kearifan tempatan selain Malam Lestari Budaya turut menggabungkan lima segmen berbentuk muzikal dengan gabungan persembahan kesenian Selat Melaka.

“Dijangka juga kita akan pecahkan dua Malaysia Book of Records iaitu bagi Penghasilan 50,000 biji onde-onde atau buah melaka dan pemakaian busana etnik tradisional teramai.

“FSSSM 2025 bukan sahaja berlangsung di Melaka Tengah malah di utara Melaka turut akan diadakan Pesta Perarakan Perahu Berhias yang akan menghimpunkan enam persatuan nelayan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post PELAJAR ANTARABANGSA TEROKA WARISAN, BUDAYA MELAKA
Next post STRES ATAU MASALAH KESIHATAN MENTAL: RAMAI TAK SANGKA DIRI SENDIRI SUDAH TERJEJAS