Sorting by

×

PUSAT KECEMERLANGAN PENERBANGAN MELAKA BAWA NILAI PELABURAN LEBIH RM300 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI BENDAHARA 23 Oktober – Pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam bakal membawa pulangan besar dengan nilai pelaburan dijangka melebihi RM300 juta.

Pengerusi Weststar Aviation Sdn Bhd, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata, projek itu juga pada masa sama bakal membuka potensi ekonomi baharu dalam sektor penerbangan.

Menurut beliau, pembangunan pusat kecemerlangan penerbangan itu menjadi bukti kebijaksanaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang amat prihatin kepada keperluan rakyat dan negeri, seterusnya memperkukuh ekosistem industri penerbangan di Melaka.

“Weststar amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam membangunkan Pusat Kecemerlangan Penerbangan ini.

“Ketua Menteri telah membuat tindakan bijak dan pantas bagi memperkukuh sistem pendidikan pelajar serta membuka peluang ekonomi yang lebih besar kepada Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di LTAM dan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Weststar Aviation Sdn Bhd bersama Kerajaan Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Syed Azman, memaklumkan, terdapat lebih 10 jenis pembangunan dirancang di tapak projek tersebut termasuk Hab Maintanence, Repair dan Overhaul (MRO), Hab Logistik, Flight Simulator Training Centre, NAICO Centre of Excellence, Aviation Museum dan beberapa komponen sokongan lain yang bakal menjadikan Melaka sebagai pusat rujukan penerbangan bertaraf antarabangsa.

“Projek ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri penerbangan negara, malah menjadi platform latihan bertaraf antarabangsa untuk melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post MELAKA HAB BAHARU LATIHAN, PENYELENGGARAAN PENERBANGAN SERANTAU
Next post LEBIH 200 PROGRAM SEMARAK WRUR DURIAN TUNGGAL