Sorting by

×

APC SUNTIK SEMANGAT PENJAWAT AWAM MELAKA TERUS BERKHIDMAT CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pengiktirafan yang diberikan, sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus menabur bakti dengan penuh dedikasi.

Majlis penganugerahan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu meraikan seramai 419 penerima APC dan 39 penerima AKP yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan awam negeri.

Mewakili 90 penerima daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk terus meningkatkan mutu kerja serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan, tetapi tanggungjawab besar untuk mengekalkan kecemerlangan dan menjadi contoh kepada kakitangan MBMB serta rakan-rakan lain dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Juairiah Suleiman menyifatkan anugerah yang diterima hasil sokongan kepimpinan jabatan serta dasar prihatin Kerajaan Negeri terhadap kebajikan penjawat awam.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri yang sentiasa menghargai usaha kami. Pengiktirafan ini memberi semangat baharu untuk terus berkhidmat dengan lebih komited dan berintegriti,” katanya yang mewakili 18 penerima di bawah MPJ.

Nada sama turut disuarakan Pembantu Awam Bahagian Khidmat Pengurusan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Muhamad Jamil Said yang menzahirkan rasa terima kasih apabila pertama kali menerima anugerah itu selepas 14 tahun berkhidmat.

“Terima kasih kerana memandang usaha dan hasil kerja penjawat awam. Cemerlang hari ini bukan noktah, tetapi permulaan baharu untuk terus menabur bakti kepada rakyat dan negeri.

“Mewakili rakan-rakan seperjuangan di PPSPM, APC ini amat bermakna dan satu bentuk suntikan semangat baharu kepada kami untuk terus berbakti dan berikan yang terbaik dalam perkhidmatan,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

783
Kongsi :
Previous post FSSSM: PASAR SALOMA JADI TARIKAN, IMBAU NOSTALGIA 60-AN
Next post KES JENAYAH LIBAT PELAJAR SEKOLAH MENURUN DI MELAKA