
WRUR: PASTIKAN PENGANJURAN SETIAP EDISI BERI IMPAK KEPADA RAKYAT
ALOR GAJAH 24 Oktober – Kejayaan setiap edisi penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) amat menagih kerjasama dan komitmen daripada seluruh pemimpin komuniti, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Rais berkata, kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan WRUR di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mencapai matlamat, objektif penganjuran dan memberikan impak berfaedah kepada rakyat Melaka.
“Saya amat mementingkan kejayaan pelaksanaan program ini. Sehubungan itu saya amat menyokong apa sahaja perkara akan memberikan kebaikan termasuk cadangan inisiatif Exco angkat bagi setiap kampung pada penganjuran WRUR DUN Durian Tunggal.
“Tetapi mesti dipastikan Exco terlibat ini dapat berganding bahu dengan pemimpin masyarakat atau komuniti seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK). Kita memerlukan kekuatan akar umbi untuk turun padang bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran MPAG Bagi Bulan Oktober 2025 Dan Majlis Pelancaran Fast Lane Alor Gajah (FLAG) di Dewan Bougainvilla, MPAG, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Setiausaha MPAG, Radzyma Mahat; Ketua Whip Ahli Majlis MPAG, Ghaffar Ngah, ketua-ketua jabatan serta kakitangan MPAG.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


