Sorting by

×

BUSANA BY THE RIVER’ ANTARA TARIKAN UNIK FSSSM 2025

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Oktober – Aktiviti ‘Busana by the River’ menampilkan pengunjung berpakaian tradisional sepanjang Sungai Melaka atau sambil menaiki Melaka River Cruise menjadi antara tarikan unik Festival Seni Selat Melaka X Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini di Dataran Pengkalan Rama.

Pengarah Jabatan Kebudayaandan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata inisiatif kreatif itu membolehkan pengunjung menghayati keindahan Sungai Melaka dalam suasana penuh warna-warni di samping memupuk rasa bangga terhadap keunikan busana tradisional pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, FSSSM yang memasuki tahun kedua mengetengahkan keistimewaan budaya rantau Selat Melaka dengan pendekatan interaktif dan inklusif untuk menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan.

“Kita mahu pengunjung bukan sahaja datang menonton, tetapi turut menyertai aktiviti seni dan budaya. Mereka yang hadir boleh berpakaian busana tradisional seperti baju kurung, sari, berkebaya Baba dan Nyonya, pakaian etnik Sabah dan Sarawak atau cheongsam.

“Pengunjung menggayakan pakaian tradisional ini akan menikmati diskaun 30 peratus tambang Melaka River Cruise dan teksi air untuk ke lokasi acara,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Podcast Seni Selat Melaka sempena FSSSM 2025 di Dataran Pengkalan Rama, semalam.

Mengulas lanjut, Ezlina berkata penganjuran festival secara bersama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh identiti negeri melalui pelancongan berasaskan seni dan warisan.

Jelasnya, selain ‘Busana by the River’, festival berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti santai untuk seisi keluarga seperti permainan interaktif, petting zoo, pertandingan karikatur, demonstrasi ondeh-ondeh sebanyak 50,000 biji, serta Pasar Saloma yang menawarkan pelbagai makanan tradisional.

“Kita mahu rakyat merasai suasana muhibah yang mana memang sesuai seisi keluarga, anak-anak boleh bermain di ‘inflatable games’ , ibu-ibu boleh sama-sama uli tepung buat ondeh-ondeh, manakala bapa boleh menyertai pertandingan memancing dengan yuran RM30 dengan hadiah tempat pertama ditawarkan RM7,000.

“Tidak ketinggalan, persembahan Dondang Sayang secara ‘busking’ turut disediakan bagi membolehkan pengunjung berinteraksi bersama penggiat seni melalui pantun dan puisi secara santai di tepi sungai.

“Matlamat kita ialah menghidupkan semula semangat silaturahim dan kebersamaan rakyat melalui seni dan budaya yang diwarisi sejak dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

690
Kongsi :
Previous post MALAM LESTARI SENI ACARA KEMUNCAK FSSSM 2025
Next post FSSSM 2025 TONJOL KEINDAHAN SENI, WARISAN DAN SUNGAI MELAKA