
80,000 SEMARAK PERPADUAN, KEAMANAN SEDUNIA MENERUSI ‘FUN WALK’
TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Lebih 500 peserta menyertai Karnival Kokurikulum, Pameran Kerjaya dan Program Fun Walk For World Peace Peringkat Antarabangsa Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Al-Ehya El-Karim, hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyertaan itu menunjukkan semangat tinggi rakyat Melaka dalam menjayakan agenda pembangunan insan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Ini membuktikan bahawa rakyat Melaka sentiasa beriltizam dan bersemangat dalam memupuk keharmonian serta semangat keamanan sejagat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya penganjuran karnival itu yang menjadi manifestasi kepada usaha melahirkan generasi pelajar seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.
“Program ini membawa mesej perpaduan dan keharmonian sejajar dengan aspirasi memartabatkan Malaysia sebagai Global Destination of Peace and Harmony.
“Menariknya, acara ini dilaksanakan serentak di 20 lokasi seluruh negara dengan penyertaan seramai 80,000 peserta.
“Bertepatan dengan perhimpunan ini, ia menterjemahkan manifestasi rakyat Melaka yang memilih untuk menyebarkan kasih, menolak kebencian dan menyemai benih kedamaian dalam diri serta masyarakat sekeliling,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan oleh Velocity Stride Sdn. Bhd. dengan kerjasama SMA JAIM Al-Ehya El-Karim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


