Sorting by

×

KEMELUT PENIAGA PANTAI PUTERI DISELESAIKAN SECARA HARMONI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 25 Oktober – Masalah membabitkan penempatan peniaga di Pantai Puteri akan diselesaikan secara baik selepas pertemuan diadakan bersama persatuan peniaga di kawasan itu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, setiap pembaharuan yang dilakukan pastinya sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited untuk mencari satu kata sepakat bersama peniaga.

Menurut beliau, pertemuan yang diadakan bersama peniaga telah berlangsung dalam suasana harmoni dan setiap permasalahan akan diselesaikan secara baik.

“Apa yang penting, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu memastikan tiada periuk nasi mereka (peniaga) terjejas.

“Seperti kita tahu, rata-rata yang berniaga di sini adalah penduduk tempatan yang ingin mencari rezeki, jadi, kita akan bantu sedaya upaya dan sebaiknya untuk semua.

“Kita amat berharap kerjasama semua agar kita dapat menyelesaikan isu ini secara baik,” katanya kepada pemberita selepas program 3km International World Walk 2025 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Terdahulu, program dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput itu disertai lebih 3,000 peserta merangkumi warga Paya Rumput, selain turut berlangsung secara serentak di 10 buah negara antaranya Korea Selatan, Singapura dan Jepun.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini, Rais memaklumkan tiada sebarangan kemalangan jiwa atau laporan kerosakan diterima di Melaka.

“Berdasarkan laporan memang air pasang besar melimpah di beberapa kawasan antaranya Pantai Puteri dan Pengkalan Balak, namun ia tidak sampai ke rumah-rumah sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1538
Kongsi :
Previous post 80,000 SEMARAK PERPADUAN, KEAMANAN SEDUNIA MENERUSI ‘FUN WALK’
Next post PENGORBANAN IBU BAPA, GURU TERAS KEJAYAAN PELAJAR – KM