Sorting by

×

PELANCONGAN MELAKA ‘TAK RILEKS’ HINGGA HUJUNG TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 25 Oktober – Sektor pelancongan Melaka terus bergemerlapan hingga hujung tahun ini dengan pelbagai acara menarik untuk rakyat dan pelancong.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, selepas kejayaan pada tahun lalu, Melaka terus mengorak langkah pada tahun ini dalam menjadikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Menurut beliau, antara acara besar yang akan diadakan pada hujung tahun ini adalah peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0, selaion pelbagai acara pelancongan menarik lain yang telah disusun.

“Sudah semestinya dengan kejayaan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, September lalu ia telah menjadi satu penanda aras baharu untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan Melaka.

“Pada 31 Disember depan, kita akan luncurkan Tahun Melawat Melaka 2.0 dengan pelbagai pengisian menarik dan sudah pasti sambutan itu bakal menyokong sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni peserta penghasilan onde-onde terbanyak sempena Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Negeri Melaka Ezlina Alias.

Dalam pada itu, Abdul Razak turut menjemput pelancong-pelancong dari luar negara untuk memasukkan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan mereka sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sudah pasti Melaka sudah bersedia menyambut pelancong dari dalam dan luar negara kerana di Melaka pelbagai tarikan menarik bakal menanti semua,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post BIJAK SPM 2025 LONJAK KECEMERLANGAN PELAJAR MELAKA
Next post MENARA TAMING SARI PROMOSI MELAKA LEBIH MELUAS