Sorting by

×

MELAKA PERKUKUH EKOSISTEM DIGITAL, PERKASA PEMBANGUNAN DATA

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 November – Pelaksanaan beberapa inisiatif strategik berkaitan pembangunan data membuktikan Melaka memanfaatkan teknologi itu selari dengan agenda digital negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan inisiatif strategik itu dapat diolah bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan teknologi data di Negeri Hang Tuah ini.

“Berpandukan visi ini, Kerajaan Negeri Melaka telah memulakan beberapa inisiatif strategik untuk memperkukuhkan ekosistem digital negeri seperti Melaka Big Data Development Plan 2035; The Smart Melaka Blueprint 2035, dan The Melaka Digital Command Centre (MD2C).

“Di Melaka, kami menjadikan visi negara ini sebagai satu kenyataan. Data bukan sekadar dikumpulkan tetapi diubah menjadi wawasan yang membentuk dasar yang lebih bijak, memacu inovasi dan memastikan setiap pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘ASEAN-Malaysia Stats Week 2025 15th Session of The ASEAN Community Statistical System (ACSS15) Comittee’ di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Deputy National Statistician of the Philippine Statistics Authority, Minerva Eloisa P. Esquivias.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ketua Menteri, Melaka juga menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan inisiatif Kampung Digital dengan memberikan alamat baharu kepada 618 kampung tradisional yang dilengkapi kod respons pantas (QR).

“Inisiatif ini membolehkan kami mengumpul dan menyusun data tepat di peringkat kampung, sekali gus menyediakan maklumat penting untuk perancangan, tindak balas kecemasan, dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Melaka kekal komited menjadi sebahagian daripada perjalanan kolektif ASEAN ke arah masa depan berasaskan data dan lebih berdaya tahan. Kami bersedia berkongsi pengalaman dan inovasi demi manfaat rantau ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memuji prestasi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang meletakkan negara menduduki tempat pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 dengan skor keseluruhan 90, mengatasi 198 negara lain baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada DOSM kerana menerajui dunia dalam Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/2025, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan komitmen negara kita terhadap keterbukaan, akauntabiliti dan kecemerlangan.

“Di Malaysia, komitmen terhadap kemajuan berasaskan data bukanlah sesuatu yang baharu bagi kita. Statistik yang telus dan sahih adalah asas tadbir urus yang diamalkan negara kita selama ini, sekali gus menempa kejayaan negara kita di mata dunia,” jelasnya.

Terdahulu, pada majlis itu, Ab Rauf turut menyampaikan cenderamata berbentuk set permainan tradisional Konda Kondi kepada wakil delegasi negara ASEAN yang  diraikan.

Mesyuarat ACSS15 diadakan selama lima hari di negeri ini bermula 3 hingga 7 November, menghimpunkan delegasi negara anggota ASEAN bagi membincangkan pengukuhan kerjasama statistik serantau dalam usaha membina dasar pembangunan yang inklusif dan berasaskan data.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post MUHAMMAD ZAHIRUDDIN KOMITED PACU JASIN MENUJU MASA DEPAN PINTAR
Next post WRUR: BELIMBING DALAM ‘KAMPUNG PERTANIAN’ DUN DURIAN TUNGGAL