Sorting by

×

UMAR BAIHAQI BAWA IMPIAN BOLA SEPAK KE TAIWAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PENGKALAN BATU 13 Mei – Pada usia lapan tahun, Muhammad Umar Baihaqi Muhammad Amri sudah melakar langkah besar dalam dunia bola sepak apabila bakal beraksi di Kejohanan Jemputan Antarabangsa 2026 Taichung Port Cup Taiwan, Julai depan.

Lebih manis, kejayaan anak kelahiran Tengkera itu turut menjadi hadiah paling bermakna buat bapanya, Muhammad Amri Idrus, 37, yang tidak pernah jemu berkorban masa dan tenaga demi memastikan minat anaknya terhadap sukan itu terus berkembang.

Menurut Muhammad Amri, minat Umar terhadap bola sepak mula terserlah selepas dipilih untuk beraksi pada beberapa kejohanan ketika berusia enam tahun.

“Sejak kecil memang nampak dia terlalu minat sukan bola sepak. Dia suka pegang bola, tendang bola dan semangat dia lain macam.

“Masa umur enam tahun lagi dia sudah bermain dengan budak-budak lebih berusia, sejak itu memang nampak kesungguhan dia untuk terus bermain,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Muhammad Amri berkata, sebagai bapa dia sentiasa memberikan sokongan penuh termasuk meluangkan masa dan berkorban demi memastikan anaknya dapat menjalani latihan serta menyertai pertandingan.

“Kalau nak cakap pasal pengorbanan memang tidak terkata. Ke mana dia pergi saya sentiasa ada dan tidak pernah tinggalkan dia walau sesaat. Kalau orang kenal Umar, memang orang tahu kami sentiasa berdua ke mana-mana pertandingan.

“Sebagai persediaan Umar kini menjalani latihan sebanyak empat kali seminggu iaitu bersama Kelab 04 di Klebang serta sesi latihan bersama jurulatih peribadinya,” katanya.

Katanya, peluang menyertai kejohanan di Taiwan itu diterima selepas Umar beraksi dalam kejohanan Maxim Cup KL (KL Cup) sebelum ditawarkan oleh pemilik Kelab Akarumbi Selangor di bawah Young Guns Football Club.

“Tawaran untuk perlawanan di Taiwan ini baru diterima minggu lepas. Pada awalnya memang rasa takut nak lepaskan anak pergi jauh, tapi peluang macam ini bukan selalu datang. Selagi ada kudrat, saya akan usahakan yang terbaik untuk dia,” katanya.

Kejohanan Jemputan Antarabangsa 2026 Taichung Port Cup Taiwan dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Julai depan dengan pasukan dijangka berlepas lebih awal pada 2 Julai bagi persiapan pemain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

52
Kongsi :
Previous post AHMAD ‘SAKSI’ KEMAJUAN KAMPUNG ORANG ASLI AIR DUSUN