Sorting by

×

MBMB, JAPERUN DUYONG SELARAS PENGGUNAAN PUSAT KOMUNITI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DUYONG 13 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengadakan perbincangan bersama Japerun Duyong bagi menyelaras penggunaan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang siap dibina baru-baru ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan pengurusan bangunan dapat dilaksanakan secara sistematik selain mengelakkan timbul isu berkaitan pemilikan atau penggunaan kemudahan berkenaan dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, pusat komuniti itu boleh dimanfaatkan pelbagai persatuan dan penduduk sekitar, justeru perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem bersama Japerun Duyong perlu dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita menerima beberapa cadangan untuk pusat komuniti ini diserahkan kepada pihak mana, antara cadangan termasuk menyerahkan pengurusan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pemimpin masyarakat setempat iaitu JPKK atau mana-mana pihak bersesuaian.

“Pusat Komuniti DUN Duyong ini merupakan antara dua kemudahan yang dibina di kawasan Duyong dan yang terletak di Desa Duyong ini dibangunkan oleh MBMB,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pusat Komuniti DUN Duyong yang disempurnakan Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy di Taman Desa Duyong, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shadan berkata projek pembinaan pusat komuniti itu bermula pada November 2025 dan siap sepenuhnya pada 5 Mei lepas dan projek itu dilaksanakan menerusi peruntukan daripada Kementerian Ekonomi berjumlah RM200,000.

Katanya, pusat komuniti itu diharap menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti selain lokasi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN Duyong.

“Alhamdulillah, bangunan ini telah siap sepenuhnya dan selepas ini kita akan berbincang dengan pihak Japerun Duyong untuk penyelarasan penggunaan.

“Kita mahu elakkan sebarang isu atau pertindihan kerana di kawasan ini terdapat banyak persatuan dan komuniti yang boleh memanfaatkan fasiliti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post PELAYARAN INDAH DENGAN MELAKA SEA CRUISE