
KAWASAN EKSKAVASI PULAU MELAKA DIWARTA KAWASAN LARANGAN
BANDA HILIR 6 November – Tapak ekskavasi dan cari gali rangka kapal purba dan artifak di kawasan berhampiran Pulau Melaka bakal diwartakan sebagai kawasan larangan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, justeru, orang ramai diminta untuk tidak memasuki kawasan tersebut kerana ia boleh mengganggu perjalanan pencarian dan penerokaan oleh ahli arkeologi terlibat.
“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri akan memulakan pewartaan kawasan ini sebagai zon larangan sehingga selesai kerja-kerja ekskavasi dan penerokaan ini.
“Ini dilakukan kerana di sini merupakan satu kawasan yang sangat berharga, bukan sahaja untuk Negeri Melaka, bahkan negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak ekskavasi penyelamatan kapal purba Melaka berhampiran Pulau Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohd Muda Bahadin; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, bagi membolehkan orang ramai melihat artifak-artifak tersebut, ia akan diletak dan dipamerkan di salah satu muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
“Selain dipamerkan, kita juga akan menulis catatan-catatan tentang penemuan ini selepas kajian selesai dijalankan. Buat masa ini, kita masih di peringkat untuk mengesahkan kurun sebenar artifak-artifak yang ditemui.
“Oleh sebab itu, apabila dipamerkan kelak, kita mempelawa orang ramai untuk melihat penemuan baharu ini dan bukannya datang ke tapak ekskavasi sehingga boleh mengganggu kerja-kerja cari gali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


