Sorting by

×

BENANG KAIT TERAPI HIDUP NORHATINI

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 8 November – Bermula hanya dengan sebatang ranting kayu dan tali rafia, minat seorang wanita terhadap seni kait terus berkembang sehingga kini menjadi sumber rezeki dan terapi jiwanya.

Bagi Norhatini Abu Hashim, 57, dari Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah, seni mengait atau ‘crochet’ telah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak di bangku sekolah menengah lagi, biarpun pada awalnya tidak pernah diajar sesiapa.

“Dahulu kawan tidak mahu ajar. Jadi saya tengok sahaja. Balik rumah, ambil ranting kayu bentuk macam nombor tujuh, guna tali rafia dan saya cuba buat sendiri. Orang kata, kita belajar sebab minat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, setelah tamat sekolah dia mula menjahit alas televisyen dan sarung kerusi untuk digunakan di rumah dan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri rumahnya akan dihiasi hasil tangan sendiri, bertukar warna dan corak saban tahun.

Minat itu terhenti seketika selepas berkahwin, namun kembali mekar selepas anak-anak menginjak dewasa.

6084451581953772541
ANTARA produk hasil tangan seni Norhatini. Foto Afiq Mustaffa

Malah, kini Norhatini menghasilkan pelbagai barangan seperti sarung botol air, beg, topi, sarung kerusi, keychain, patung lembut dan hiasan berbentuk pokok kaktus.

“Yang paling susah buat beg, sebab banyak corak dan bentuk. Kadang-kadang makan masa sampai dua minggu. Tapi jika pokok kaktus lebih mudah, di mana, dalam sehari saya boleh menyiapkan tiga,” katanya yang menerima tempahan dari dalam dan luar negeri termasuk Johor serta Singapura.

Lebih membanggakan, minat yang dahulu pernah disisihkan kini menjadi sumber pendapatan apabila dia mula aktif menjual hasil krafnya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila permintaan semakin meningkat.

“Dahulu saya malu mahu keluar meniaga. Dalam hati macam-macam saya terfikir, ada ke orang mahu beli? Tapi bila orang mula tanya, mula minat, dari situ keyakinan datang.

“Sampai ada anak muda datang mahu belajar, saya tidak kedekut Ilmu dan ajar saja. Ilmu kalau dikongsi, makin hidup,” katanya.

Bagi Norhatini, seni mengait bukan sekadar hobi, tetapi terapi hati yang membuatkan dirinya berasa tenang setiap kali jarum dan benang bertemu.

“Bila kita buat, kita rasa hilang segala penat, hilang fikir banyak kerana ini adalah terapi untuk saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post JATI DIRI MELAYU-ISLAM PERLU DIHIDUPKAN SEMULA
Next post WRUR PACU PERUBAHAN POSITIF DURIAN TUNGGAL – PENDUDUK